Tuesday, May 31, 2011

melepaskan batuk di tangga

Beberapa minggu yang lalu, saya telah membaca sebuah artikel yang begitu menarik minat saya di sebuah suratkhabar berbahasa Inggeris. Setelah membacanya ekspresi saya adalah "Wow!"

Nak tau kenapa? Hanya kerana sepatah peribahasa Melayu yang selalu kita dengar dan sebenarnya kita faham maknanya, namun kita selalu mengabaikan asal-usul kewujudannya, iaitu seperti melepaskan batuk di tangga. Artikel tersebut mengulas kesilapan-kesilapan penggunaan bahasa di dalam sebuah buku dan peribahasa tersebut merupakan salah satu kesilapan penggunaan yang disenaraikan.

Tak pernah saya tahu, bahawa batuk yang dimaksudkan dalam peribahasa tersebut sebenarnya adalah batok. Rumah Melayu zaman dahulu kan biasanya dibina di atas tiang-tiang yang tinggi. Maka tangga untuk masuk ke dalam rumah itupun tinggilah juga. Di hujung tangga biasanya ada tempayan besar berisi air yang mana disediakan untuk kemudahan orang membersihkan kaki mereka dahulu sebelum naik ke atas rumah. Batok itulah alat yang digunakan untuk mencedok air di dalam tempayan tersebut (gayunglah tu). Batok selalunya diperbuat daripada tempurung kelapa yang telah dibelah dua dan disambungkan kepada batang kayu yang dibentuk sebagai pemegang menggunakan rotan.

Lazimnya, selepas selesai digunakan, batok itu disangkutkan di kepala tangga berdekatan tempayan tu. Tapi kalau orang tu malas, dibiarkan saja batok tu kat anak tangga. Maka wujudlah peribahasa seperti melepaskan batuk (sebenarnya batok) di tangga, bererti membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh. Pendek kata, kerja orang malas lah tu.

Selama ini, saya ingatkan batuk tu batuklah, cough bak kata omputih. Cuba kita fikir balik, kalau benar batuk, apakah sebenarnya perbuatan batuk di tangga itu melambangkan pekerjaan sambil lewa? Rasanya memang tidak tepat. Kalau orang itu di dalam rumah, bila dia nak batuk dia pergi ke tangga dan batuk, itu bukan kerja orang malas, itu kerja orang bersopan dan beradab sebab tak nak melepaskan sebarang kuman akibat batuk di dalam rumah. Pendek kata, itu kerja rajin namanya kan? Orang lazimnya batuk kat mana saja dia berada, tak kisah pun.

Makanya, barulah saya tahu dari mana datangnya peribahasa tu. Maklumlah, saya tak pernah tinggal di kampung, tak pernah dengar pun perkataan batok tu. Inilah baru tahu. Menarik, kan? Lagi menarik bila tahu di mana kesilapan itu berlaku seperti dibincangkan dalam artikel yang saya maksudkan, klik di sini.

Bila saya rujuk perkataan batuk dan batok di kamus online DBP, maknanya memang berbeza seperti apa yang telah saya bincangkan di atas. Tetapi, peribahasa itu diletakkan di bawah penggunaan 'batuk' dan bukan 'batok'. Kenapa begitu ya? Tidakkah ia menyebabkan maksud asal perumpamaan itu menjadi kurang tepat untuk orang yang tidak pernah tahu apa itu batok seperti saya.

imej google


Uhuk, uhuk. :) 

1 comment:

  1. good information...saya pun baru tau la batok bkn batuk yer...

    ReplyDelete

Amuse me ...