Monday, May 2, 2011

Srengenge oleh Shahnon Ahmad

Novel Srengenge hasil tulisan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad yang aku baca ini bukanlah daripada cetakan khas Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20, tetapi merupakan cetakan keempat DBP pada tahun 1981. Namun begitu, Srengenge sememangnya salah satu novel daripada dekad 1970an yang diangkat sebagai karya pilihan abad ke-20, seiring dengan Interlok (Abdullah Hussain), Juara (S. Othman Kelantan), Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (Anwar Ridhwan) dan banyak lagi.

Aku tak pasti apakah makna sebenar Srengenge, tetapi di dalam cerita ini, Srengenge adalah sebuah bukit. Bukit Srengenge adalah tempat kegemaran orang-orang kampung di kaki bukit meluangkan masa sementara menanti padi masak. Di situlah tempat mereka meracik tekukur, menjebak landak, menepuk pelanduk dan menggetah puling atau punai. Itulah kegemaran beberapa orang penduduk kampung tersebut seperti Imam Hamad, Diah, Useng, Siddik dan Saad Cik Lah.

Kisahnya timbul apabila Awang Cik Teh, seorang lagi penduduk kampung, berhasrat untuk menutuh, memugar dan membersihkan Srengenge. Awang Cik Teh lebih suka bukit itu dijadikan tempat menuai padi huma dan bercucuk tanam daripada "tersergam hodoh macam setan". Jika ditanya pendapat orang kampung lain, kemungkinan besar mendapat tentangan. Maka, menjadi hasrat Awang untuk meminta tolong Imam Hamad yang merupakan antara orang yang disegani di kampung itu untuk menyokong dan megetuai usaha tersebut. Namun, Imam Hamad kemudiannya jatuh sakit, "ditegur orang Srengenge" bak kata Useng  dan penduduk-penduduk kampung yang lain.

Penceritaan novel ini hanya berkisar tentang Bukit Srengenge dan orang-orang kampung yang terlibat dengannya. Bagi akulah, Awang Cik Teh adalah seperti karakter pelopor yang sentiasa ingin berusaha dan mencuba sesuatu yang baru, dan bukan jenis orang yang suka duduk diam serta mementingkan hiburan. Ini ditunjukkan oleh hasratnya yang ingin membersihkan Srengenge untuk dijadikan tempat bercucuk-tanam, dan usaha-usahanya yang terdahulu menubuhkan pakatan dengan penduduk kampung untuk membangunkan syarikat baja dan lain-lain. Walaupun usaha itu dinyatakan sebagai tidak berjaya, namun tidak diberitahu secara jelas apa puncanya. Rata-rata penduduk kampung adalah masyarakat yang mempercayai wujudnya penunggu bukit dan melaksanakan upacara menjamu pulut kuning dan ayam panggang di Bukit Srengenge lantaran Imam Hamad yang "tersampuk" itu, walaupun turut mempercayai kekuasaan Allah swt. Mereka percaya bahawa apa yang terjadi pada Imam Hamad adalah kerana wujudnya niat untuk memugar Srengenge.

Dalam kata lain, Srengenge merupakan kisah riwayat masyarakat desa yang masih tebal dengan kepercayaan tradisi dan perhubungan antara manusia dengan alam sekitarnya. Teknik penceritaan yang tidak terlalu kompleks memudahkan pembacaan. Satu bacaan yang baik.


2 comments:

  1. srengenge adalah novel yang sangat bagus tapi hanya mereka yang mampu menepis kebosanan boleh menghabiskan novel nih dan memahami keseluruhannya..

    di indonesia ia dikenali sebagai Pengajian Sarasehan Sregep Ngeling-ngeling (Pasar Srengenge)

    ReplyDelete
  2. Sudah lama ak mencari buki ni.. Sape tau kat mane ak masih blh dpt kn senaskah buku ini?

    ReplyDelete

Amuse me ...