Alhamdulillah, 1 Muharram 1432 H kini tiba. Setahun telah berlalu dan tahun baru menjelang dengan gemilang. Bila tahun baru hijrah menjelma, selalu kita dengar akan 'hijrah', 'pengorbanan', 'pembangunan ummah' dan sebagainya. Selalu kita diingatkan dengan kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan bermulanya zaman kegemilangan Islam. Selalu....selalu...tapi kita kadang-kadang mudah lupa. Selalu...lupa. Termasuklah saya, si tukang tulis. Saya tidak mampu untuk menulis tentang pengorbanan para nabi dan rasul, saya tidak mampu untuk berhujah dengan ayat-ayat Allah, saya tidak mampu....
Namun sebagai umat yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, kita mampu untuk menyoal kembali diri kita sendiri..
Apakah aku telah menjadi seorang bapa dan suami yang baik? Apakah aku telah menjalankan tanggungjawabku terhadap isteri dan anakku dengan sempurna? Apakah aku telah menghargai segala usaha isteriku menyediakan segala yang terbaik buatku dan anak-anak di rumah? Walaupun dia juga sibuk bekerja? Apakah telah aku ucapkan sayang dan cinta kepadanya bukan saja pada hari lahirnya atau ulangtahun perkahwinan kami, tetapi pada hari-hari biasa?
Apakah aku telah menjadi ibu dan isteri yang baik? Apakah aku redha dengan apa yang suamiku mampu sediakan buat kami sekeluarga? Apakah aku selama ini ikhlas memasak, menggosok baju, mengemas rumah dan sebagainya dengan rasa kasih dan puas hati dan bukannya diselangi rungutan? Apakah aku pernah menunjukkan 'tantrum' kepada suamiku hanya kerana kami tidak dapat balik kampung kerana suami dipanggil bekerja?
Apakah aku telah menjadi anak yang baik? Apakah aku sentiasa merindui untuk melihat wajah ibu dan ayahku dan sentiasa merancang untuk pulang ke kampung? Apakah aku telah untuk menggembirakan hati ibu dan ayahku dan bukannya merisaukan hati mereka? Apakah aku pernah ego dengan teguran mereka sehingga langsung tidak dapat menerima? Apakah aku pernah mendoakan kesejahteraan mereka?
Apakah aku seorang kakak, abang atau adik yang baik? Apakah aku selama kini menghormati adik-beradikku dan meluahkan kasih sayangku secukupnya? Apakah aku pernah mencemburui segala kelebihan mereka di mana sepatutnya aku bergembira? Apakah aku pernah mengabaikan mereka di mana mereka memerlukan pertolonganku? Apakah aku sentiasa menjadi support system di dalam hidup mereka?
Apakah aku telah menjadi kawan yang baik? Kawan yang sentiasa membantu, mendengar dan menghargai kawannya yang lain? Apakah aku telah menjadi kawan yang menegur perkara yang silap dan menyokong perkara yang benar? Apakah aku sentiasa menjaga hati kawanku dan tidak segan meminta maaf andainya tersilap? Apakah aku pernah menunjuk-nunjuk dengan kelebihanku dan merendah-rendahkan mereka yang kurang sempurna daripadaku?
Apakah aku pekerja yang baik? Apakah aku telah bekerja dengan hati seikhlas mungkin dan melakukan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab? Apakah aku amanah dalam tugasku, bukan sahaja amanah dalam urusan wang tetapi juga dalam urusan masa?
Apakah aku manusia yang baik dan bertanggungjawab? Apakah aku telah menjaga persekitaranku? Apakah aku telah menjaga amanah Allah iaitu menjaga alam dan segala isi kandungannya dengan baik? Apakah aku pernah melemparkan sampah dari dalam kereta semasa sedang memandu? Apakah aku pernah membuang sampah dari tingkap apartmentku? Atau longgokkan sahaja sampah itu di mana-mana?Apakah aku telah memandu dengan berhemat lantas menjaga keselamatan diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain?
Apakah aku hamba Allah yang baik? Apakah aku bukan sahaja menjaga solat, malah menjaga segala rukun dan tertib lakunya? Apakah aku sentiasa redha dengan ketentuannya? Apakah aku sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan memahami serta mematuhi segala suruhanNya? Apakah aku telah cukup bersabar dengan dugaan yang datang dalam pelbagai cara dan rupa?
Pasti kita dapat menjawab segala persoalan tersebut...dan pasti ada jawapan yang perlu kita perbaiki.. ..Semoga dengan kedatangan tahun yang baru ini kita mendapat semangat baru untuk memperbaiki diri kita secara keseluruhannya. Kita tidak harus meminta supaya ditiadakan ujian dan dugaan, sebaliknya kita harus meminta kekuatan dan pedoman untuk menghadapinya. Semoga kita beroleh kekuatan itu. Amin.
No comments:
Post a Comment
Amuse me ...