Sidek termangu di atas bangku batu di taman permainan itu. Cuaca pada hari itu cerah dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, menyapu lembut pipi kematunya itu. Sidek sudah tua. Dia sudah tidak larat lagi. Kerjanya hari-hari adalah menghabiskan usia tuanya di taman itu. Taman permainan yang tak seperti taman permainan yang lain. Kecil sahaja, maklumlah...ianya dibina sekadar untuk mengisi ruang di antara sebuah pangsapuri lima belas tingkat dan bangunan parkir kereta di sebelahnya.
Sidek bagaikan penunggu setia di taman itu. Tiap-tiap petang dia pasti di situ, melihat telatah anak-anak yang bermain, waima tidak ada apa yang boleh dimainkan sangat oleh anak-anak di situ. Buaiannya sudah tercabut dari talinya. Yang tinggal cuma satu atau dua yang dipasang kembali atas inisiatif penduduk yang tinggal di pangsapuri itu. Namun kadang-kadang dia melihat buaian itu tercabut kembali. Begitu juga dengan nasib alat-alat permainan yang lain yang bagaikan hidup segan, mati tak mahu. Sidek hanya menggelengkan kepalanya, menginsafi keadaan yang disaksikannya berulang kali. Budak-budak zaman sekarang ni tak reti langsung nak menghargai kemudahan yang ada. Semua nak dirosakkannya, tak tahu bersyukur langsung!, rengus Sidek dalam hatinya sambil mengelus misai tuanya yang panjang itu.
"Sidek!"
.........
"Sidek!!"
Semakin nyaring dan tajam panggilan itu. Sidek berpaling. Dia kenal sangat dengan suara itu. Masakan tidak, tuan punya suara itulah teman lepaknya di taman itu setiap hari.
"Fareez. Kau rupanya. Kenapa lambat hari ni? Biasanya, tak sempat panas punggung aku duduk kat bangku ni, kau dah terpacul kat sebelah aku.", balas Sidek setelah melihat Fareez menghampirinya sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.
"Alah...aku dah sampai dari tadi lagi. Tapi aku tengok kau macam syok saja melayan perasaan, aku malaslah nak kacau daun.", selamba saja Fareez menepuk bahu kawannya itu seraya duduk di sebelah. Walaupun usia Fareez lebih muda separuh dari usia temannya itu, namun mereka telah terbiasa berbahasa kau, aku sejak mula mengenali diri masing-masing.
"Apa yang kau geleng-geleng kepala tadi? Macam ada masalah je? Teringatkan Limah ke?"
"Hish! Jangan kau sebut-sebut lagi nama si Limah tu. Dia dah lama aku buangkan jauh dari ingatan aku."
"Hey...sorry, brader. Aku bukan apa, dalam perjalanan aku nak ke sini tadi aku nampak si Limah dengan si Tuah kat tepi bangunan tu. Bergesel-gesel, berhimpit-himpit....Heiiii, geli-geleman betul aku menengoknya.",
jelas Fareez sambil terenjut-enjut bahunya menggambarkan sifat gelinya tadi.
"Siapa suruh kau tengok. Kan memang si Limah tu macam tu sifatnya. Limah dengan betina-betina lain tu, sama je.", dengus Sidek, bosan. Limah Cantik pernah menjadi kekasih hatinya, tetapi itu kisah lama. Sidek sudah lali dengan perangai Limah yang suka bertukar-tukar jantan. Lagipun, dia sendiri apa kurangnya, setelah berpisah dengan Limah, banyak lagi anak-anak dara dan mak janda yang tergila-gilakannya. Hidup Sidek tak pernah sunyi. Tak pernah sunyi.....dulu. Namun sekarang.......
"Ok, ok....tapi berbalik kepada soalan aku tadi, apasal kau tergeleng-geleng kepala tadi?"
"Aku cuma mengenangkan nasib taman ni."
"Aikk, pasal taman ni? Setahu aku, kau ni bukannya ahli persatuan penduduk kat sini pun. Yang kau ambik kisah sangat pasal taman ni kenapa?"
"Memanglah, kau pun sama juga. Tapi, Fareez, kita kan pelawat setia taman ni. Tak ke kau terhibur melepak kat taman ni sambil menikmati udara nan nyaman, melihat telatah anak-anak bermain riang, berlatarkan langit yang biru, pohon-pohon yang menghijau....dan..."
"Coopppp..nanti dulu.", pantas Fareez mencantas kata-kata Sidek yang bagaikan tersampuk puisi sastera.
"Udara nyaman? Eh, mata kau dah kena cataract ke? Kiri dan kanan kita ni ada tempat pembuangan sampah. Hari-hari memang penuh je sampah sarapnya, sampai membuak-buak ke luar tongnya. Baunya? Huuuh, masam sungguh! Lagi masam dari ketiak kau."
"Amboi! Mulut kau tu ada insuran takaful ke? Dah cukup nyaman la bagi aku. Lagipun kau bukan tak tau, kat sini jugalah tempat aku cari rezeki. Si Man tu pun cari rezeki kat tempat pembuangan sampah ni tau! Hari-hari dia datang dengan motor roda tiga dia tu, menyelongkar sampah-sampah tu cari benda-benda yang boleh dijual kat tempat kitar semula."
"At least, dia makan hasil jualan sampah. Kau tu makan sampah! Kau ni Sidek, dah banyak kali aku ajak makan kat rumah aku tapi kau tak nak. Diorang tu tak kisahlah Sidek."
"Aku tau, Reez. Dah banyak kali jugak aku bagitau kau, aku segan. Diorang tu keluarga engkau. Takkanlah, diorang nak tanggung makan aku yang hidup merempat ni."
"Suka hati kau lah Sidek. Aku ni kesian kat kau. Sebenarnya aku ada satu rahsia nak cakap kat kau."
"Apa dia?"
"Aku ni sebenarnya anak angkat je, Dek. Masa aku kecik-kecik dulu, mak bapak si Lijah tu yang ambik aku, selamatkan aku dari hidup merempat di jalanan. Kalau tak kerana diorang, entah aku hidup lagi ke tidak hari ni, entah aku sempat kenal kau ke tak, aku pun tak tau.", jelas Fareez, syahdu.
"Bersyukurlah kau. Walaupun kau tu anak angkat, nak jugak si Lijah tu terima kau. Sampai ke usia begini pun dia setia menjaga dan sayangkan kau."
"Itulah, jodoh dan maut di tangan Tuhan yang Maha Kuasa. Ni, aku nak bagitau kau Sidek. Andainya umur aku tak sepanjang kau, aku nak kau pergilah ke rumah aku tu. Jumpalah Lijah. Dia akan take care kau sama macam dia jaga aku."
"Eh, kau dah gila ke Reez?! Lijah tu hak kau. Takkanlah aku tiba-tiba je nak......eihhh, kau ni. Aku ni lagi tua daripada kau. Tak lama lagi sampailah masa aku kembali kepada Dia. Kau tu muda lagi, kenapa kau nak cakap soal mati?"
"Macam aku cakap tadi, Dek. Semua tu rahsia Tuhan. Aku sekadar berpesan kepada kau. Kau ingatlah ye."
Dan begitulah, perbualan pelik pada petang itu terhenti di situ. Sidek dan Fareez terus menghabiskan masa mereka bersama-sama seperti biasa. Petang-petang seterusnya, mereka tetap melepak di taman itu. Kadang-kadang mereka bermain dengan anak-anak di situ. Sidek berasa bahagia. Ada di antara anak-anak itu yang senang menghabiskan masa dengannya. Bermain bersama. Berceloteh bersama. Seolah-olah dia merasai kasih sayang anak-anak dan cucu-cucunya yang tidak pernah dia kenali selama ini mahupun tahu akan kewujudan mereka. Fareez juga sama. Apabila malam menjelang, mereka berpisah. Fareez pulang ke rumahnya, dan Sidek merayap entah ke mana. Setiap kali mereka berpisah, mata Fareez tertancap kemas memerhatikan Sidek, berjalan perlahan-lahan menjauhi taman, sambil memikirkan, di mana agaknya Sidek tidur malam nanti. Di tepi bangunankah? Di bawah jambatankah? Di dalam paritkah?
Sepurnama berlalu......
Sidek merasakan tubuhnya semakin hari semakin lemah. Langkah kakinya semakin perlahan. Rupanya semakin tua dan uzur. Petang itu, dia ke taman lagi. Walaupun sukar, tetap digagahi juga, Dia harus sampai ke sana. Dia harus bertemu Fareez. Hanya Fareezlah teman setianya. Hanya Fareezlah yang bisa memahami hatinya, yang sudi mendengar keluh kesahnya. Namun, dah sebulan Fareez tidak kelihatan. Sebulan jugalah Sidek melepak sorang-sorang di taman. Sidek gundah. Ke mana Fareez? Lazimnya kalau dia dan Lijah balik kampung, pasti Sidek diberitahu dahulu, agar tidak tertunggu-tunggu di taman. Tetapi tidak kali ini.
Sidek menanti. Lama. Fareez tak juga muncul-muncul.
Kau sakitkah Fareez?
Akhirnya, Sidek mengambil keputusan. Biarlah kakinya yang berkurap dan menggelupas dimakan usia itu seakan tidak mampu berjalan lagi, namun dia harus mencari Fareez. Dia harus bertemu sahabat baiknya itu. Perlahan-lahan Sidek berjalan menuju ke rumah Fareez.
Rumah Fareez terletak di seberang jalan besar, tidak berapa jauh, namun tidak berapa dekat juga dengan taman. Perjalanan yang ditempuhi terasa sungguh lama dan menyiksakan, namun akhirnya Sidek dapat melihat rumah Fareez dari kejauhan. Dia sudahpun sampai di seberang jalan. Hanya melintas, dan dia akan sampai di depan pintu pagar rumah Fareez. Namun rumah temannya itu kelihatan saperti tidak ada penghuni. Semua pintu dan tingkap bertutup. Pintu pagar bermangga rapi.
Sidek termangu seketika. Memikirkan sebarang kemungkinan yang terjadi. Tiba-tiba, sebuah Proton Exora berwarna merah muncul dan berhenti di depan rumah Fareez. Pintu di sebelah pemandu dibuka, dan keluarlah seorang wanita berbaju kurung dan bertudung putih. Macam bidadari dalam mimpi aku pulak. sempat Sidek mengagumi wanita itu. Namun ingatan Sidek pantas menyedarkan dirinya ke alam realiti. Itu Lijah! Maknanya, Fareez mesti ada bersamanya.
"Fareez!"
"Fareez!!", laung Sidek sekuat hatinya, berulang-ulang kali walaupun suaranya serak dan garau, tidak senyaring waktu mudanya dahulu.
Lijah berpaling. Terkejut seakan mendengar suara Bandi Amuk di belakangnya. Seraya itu juga, Sidek melihat wajah Fareez muncul di pintu kereta.
"Sidek!"
"Fareez!" Kata-kata lain seakan tersangkut di kerongkongnya. Sidek tidak sabar lagi. Sahabat baiknya sudah pulang! Dia tidak sabar lagi untuk memeluk sahabatnya erat-erat. Dia teruja. Dia sangat gembira.
Sidek menerpa ke arah Fareez yang turut teruja melihatnya. Jalan itu bagai ingin dilompatnya seperti lompat jauh.
"Sidek! Tungguuuu..........."
DUMM!!!
Bunyi apakah itu? Seakan bunyi dentuman...apakah? Argh!
Dunia dirasakan seperti berpusing-pusing. Kepalanya sakit sekali. Matanya berpinar-pinar. Ah, apa yang terjadi tadi. Sungguh menyakitkan, namun digagahi juga untuk membuka kelopak matanya.
Lijah. Lijah di tengah jalan. Bajunya merah. Merah? Bukankah baju kurungnya putih bersih.
Lijah tersimpuh di atas jalan. Ada sesuatu dipangkuannya. Seakan segumpal benda berwarna merah. Seakan...
Tidak. Tidaaaaakkk....
Segala apa yang disekitarnya, tidak lagi dipedulikannya. Yang dilihat, cuma satu. Segumpal benda itu adalah sekujur tubuh. Sekujur tubuh kepunyaan Fareez. Masakan....? Tidak mungkin.
Tapi benar. Itulah Fareez. Kepala dan tubuh Fareez berlumuran darah. Namun, matanya masih terbuka. Nafasnya masih turun naik. namun semakin lama semakin perlahan. Sidek menoleh. Apa yang membuatkan Fareez jadi begini? Tidak jauh dari situ, sebuah Pajero di tengah jalan. Seorang lelaki kelihatan bergegas keluar darinya dan berlari ke arah mereka.
"Si...deekk..", lemah suara Fareez.
"Sidek...jangan...risau...memang..ini keten...tuan..dariNya..Jangan...lupa...pesan...akkuuu..."
"Faree..eez.."
Dengan satu helaan nafas terakhir, tubuh Fareez terkulai layu di pangkuan Lijah yang sudahpun teresak-esak memanggil nama Fareez.
Sungguh Sidek tidak percaya. Tak mungkin, Fareez pergi lebih awal daripadanya. Oh, Tuhan!
Satu lagi purnama berlalu......
Awal pagi. Lijah sudah bangun dan bersiap-siap untuk ke pasar. Anak-anaknya teringin nak makan ikan patin masak lemak cili padi. Dia harus ke pasar membeli ikan patin. Ketika menghidupkan kereta, Lijah terpandang ke satu sudut. Dengan tidak semena-mena, air mata Lijah bergenangan di sudut matanya. Sebuah rumah sangkar, milik seekor kucing kesayangannya, masih tersimpan elok di sudut itu.
Fareez...Ma rindukan kamu.
Tiba-tiba, ingatan lama berputar kembali. Ke saat itu.....
Panggilan telefon yang diterimanya pada pagi itu sungguh tidak disangka-sangka. Kedua-dua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya di kampung dan sedang nazak di hospital. Kecederaan mereka sangat parah dan mereka ditempatkan di wad ICU. Lijah terus bergegas bertolak pulang ke kampung bersama anak-anaknya dan Fareez. Lijah sempat melihat ibu bapanya namun mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dan mereka meninggalkan alam fana ini tanpa sempat melihat wajah anak dan cucu mereka. Hampir sebulan Lijah tinggal di kampung untuk menenangkan diri dan menguruskan pengebumian ibu bapanya dan harta peninggalan mereka. Lara hatinya hanya Tuhan yang tahu. Fareez, kucing burmese berwarna cokelat kesayangannya bagaikan memahami kehibaannya. Tidak pernah sekalipun dia meninggalkan dirinya keseorangan, dan selalu dia menggesel-gesel bulunya di badan Lijah seakan cuba membelai dan berkata "Sabar Lijah, janganlah bersedih..."
Apabila tiba hari untuk pulang ke rumahnya di bandar, Fareez sangat aktif berbanding biasa. Dia mengiau dan mengajak anak-anak Lijah bermain bersama, sampaikan anak-anaknya berasa terhibur dan terlupa sekejap akan kesedihan mereka. Lijah juga tersenyum melihat kerenah si Fareez. Begitu juga di dalam kereta, Fareez selalu melihat ke luar tingkap kereta dan mengiau-ngiau riang, seakan ada sesuatu yang menunggunya di rumah. Selalunya tidak begitu.
Ketika Lijah keluar dari kereta dan membuka mangga di pagar rumahnya, ketika itulah dia terdengar bunyi ngiauan Fareez yang kuat....dan diikuti bunyi dentuman. Hancur luluh hati Lijah melihat tubuh Fareez yang montel dan bulat terkulai layu dan berlumuran darah. Dipangkunya Fareez yang telahpun nyawa-nyawa ikan. Dalam beberapa ketika, Lijah sedar ada seekor kucing lain yang berada di hadapannya. Kucing itu mengiau-ngiau, hiba bunyinya, seakan esakan Lijah sendiri. Kucing itu menyondol-nyondol dan menjilat luka Fareez. Namun, Lijah terlalu sedih hingga dia tidak mampu berbuat apa-apa, apa lagi memikirkannya. Sehinggakan pemandu Pajero yang melanggar Fareez mendatanginya dan memohon maaf juga tidak disedarinya.
Ker-ching!!
Kunci kereta yang terjatuh ke lantai, menyentap Lijah dari imbauannya. Terus Lijah masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Sambil menunggu enjin kereta dihangatkan dalam beberapa minit, tiba-tiba Lijah terpandang seekor kucing yang duduk terpaku di hadapan rumahnya. Kucing itu memandang ke arahnya. Perlahan-lahan Lijah keluar daripada kereta dan menghampiri kucing itu. Kucing itu sungguh kotor, kelihatan berpenyakit, bulunya juga sudah tidak dapat dipastikan warna asalnya. Namun matanya yang kelabu itu, memandang Lijah dengan pandangan yang sungguh hiba. Terdetik di hati Lijah, you look familiar 'ol cat...
Meow... Serak dan garau. Lijah tersentap lagi.
Inilah kucing yang berada bersamaku ketika Fareez pergi. Inilah kucing yang turut bersedih dengan pemergian Fareez. Dua jiwa yang kehilangan. Dua jiwa yang merindui sesuatu yang sama. Bertemu pada pagi itu dan hubungan baru pun bermula.
Kini Sidek telahpun berusia 16 tahun. Usianya telah melangkaui jangka hayat kucing-kucing kurap dan merempat yang sezaman dengannya. Sidek sendiri tidak menjangkanya. Enam tahun telah berlalu semenjak Fareez pergi meninggalkan dirinya dan Lijah. Enam tahun jugalah Sidek tinggal bersama Lijah dan anak-anaknya. Sungguh Sidek tidak menjangka, dirinya yang sudah tua dan uzur pula itu, masih sanggup diambil Lijah untuk dijaga. Lijah menjaga dan merawatnya dengan penuh kasih sayang. Sehingga dirinya yang dulu kotor dan kurus kering, kini montel dan gebu. Penglihatannya semakin baik dan kesihatannya beransur pulih. Sungguh dia tidak menjangka dirinya mampu hidup sehingga usia sebegini.
Benarlah kata Fareez. Sidek sangat bersyukur. Jodoh dan pertemuan itu rahsia Allah swt. Allah itu Maha Kuasa dan Maha Penyayang akan semua makhluknya. Didatangkan rahmat kepada dirinya dalam bentuk Lijah yang mengasihi haiwan. Sidek bukan sahaja menemani Lijah di rumah, malah Sidek turut menemaninya di tempat kerja. Setiap hari, Sidek melihat Lijah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh merawat pesakit-pesakitnya di Klinik Haiwan Lijah. Sidek bersyukur. Dan Sidek tidak akan melupakan Fareez sepanjang hayatnya. Sidek tahu, Tuhan menyayangi hambaNya dalam pelbagai cara. Sidek faham dan redha dengan ketentuanNya.
Tamat.
The Dreamer©2011
No comments:
Post a Comment
Amuse me ...