Tuesday, May 17, 2011

samakah arah tujuan kita?

Kisah ini sungguh bermakna. Namun hatiku tertanya-tanya....bagaimanakah nanti kesudahannya? 
Kisah ini bermula dengan sungguh indah. Namun, apakah ia akan berakhir dengan indah juga?

Bagaikan algebra, kisah ini bagaikan persamaan yang punya banyak pembolehubah untuk diselesaikan. Unknown-unknown yang merupakan faktor-faktor dalam kehidupan yang kita tidak tahu, apakah sesuai? Bila berteman, hati terasa senang. Kesepian terisi. Ada sesuatu yang boleh diharapkan, yang boleh dinantikan. Sedetik teringat...terukir senyuman di bibir...dan berbunga-bunga rasanya hati. Namun ketika rindu yang begitu mendalam bertamu, bagai tak keruan rasanya. Kata-kata yang tidak terucap sudah terkumpul bagaikan sebuah novel. Biarpun begitu, keadaan masih sama. Ia tidak akan berubah jika tiada usaha untuk mengubahnya. Dan yang nyata, ia takkan berubah tanpa keizinan dari-Nya.

Pengalaman sebelum ini, banyak yang mengecewakan. Hinggakan hati terasa, tidak mungkin akan ditemui sekeping hati yang sanggup menerima hati ini. Nah! Bila ditemui, betapa rumitnya keadaan kita. Apakah dia yang sebenarnya?

Ah! Masakan hati ini tidak bertaut padanya...bila dia mampu mengukir senyuman, memecah tawa, melahirkan keyakinan diri. Masakan hati ini tidak mampu rapat padanya....bila terasa dihargai, bila kata-kataku didengari, bila perasaanku difahami, walau ketika ia masih terbuku disanubari. Hati ini tidak dapat mengabaikan, saat-saat kesusahan yang dihadapi bersama, kata-kata dorongan yang dihamburkan. Kesederhanaannya, kesabarannya, kebaikannya. Kita boleh berbicara tentang apa sahaja. Kita boleh toleransi apa sahaja.

Namun kita masih belum cukup teruji.

Kita bersatu dalam sejuta perbezaan. Kita bertemu dalam keadaan yang tidak disangka. Kita tidak mencari, namun kita menjumpainya, di dalam satu sama lain. Cukupkah semua itu? Mampukah kita bertahan?

Kepercayaan adalah asas dalam suatu perhubungan, termasuklah persahabatan. Kejujuran adalah teras keikhlasan, penuras kepercayaan. Kita saling mempercayai, bukan?

Senang dikatakan orang, "kalau susah-susah sangat, tinggalkan saja...", atau, "kenapa nak menyusahkan diri sendiri?". Bagai parut luka. Biarpun luka mampu sembuh, parutnya tidak semudah itu. Kita tidak mudah bertindak tanpa kerelaan. Namun kita juga tidak harus bertindak dalam keterpaksaan.

Terburu-buru...mungkin akan melukakan hati seseorang. Namun, penantian..bukankah ia satu penyeksaan?

Sekiranya kisah ini masih butuh periwayatan, hati ini perlu ketabahan, hati ini perlu kecekalan. Prinsip hidup perlu dipertahankan. Keberanian perlu disematkan.

Sejauh mana dirimu dan diriku sanggup pergi, sanggup hadapi...demi menuju arah yang sama?

Samakah arah tujuan kita?

1 comment:

  1. Kehidupan depan masih pjg dan luas..(InsyaAllah klu pjg umur)..jd yg depan2 pun kena fikir ssh dan sng kan..kdg2 walaupun pahit untuk ditelan hasilnya nanti adalah yg terbaik..spt mkn ubat yg pahit lps tu kita akn sembuh dgn izin Allah.

    ReplyDelete

Amuse me ...