Tajuk : Lavender dari Rochester
Pengarang : Fatihah Pauzihal
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd., 2012
ISBN : 978-967-0508-07-8; 612 ms.
Harga : RM23.00 (WM)/RM26.00 (EM)
google image |
Lavender dari Rochester merupakan novel penuh kedua nukilan Fatihal Pauzihal yang telah saya baca habis dalam satu malam. Kisah di dalam novel ini berkisar tentang 4 watak yang menjadi tunjang utama iaitu Lutfiyah, Hadi, Zakir dan Wardah.
Lutfiyah yang dibesarkan oleh babahnya dan Ibu Sumaiyah di Rochester pulang ke Malaysia bagi menjalankan amanat babahnya untuk mencari ahli keluarga mereka yang telah lama ditinggalkan. Malang yang bertimpa-timpa ke atas dirinya menemukan dia dengan Zakir, pemuda kampung yang bekerja di KL dan terkenal dengan sifat kasanova. Walaupun begitu, Zakir adalah pemuda yang baik dan bersama-sama Wardah, seorang gadis naif, guru tadika dan kawan sekampung Zakir, mereka membantu Lutfiyah dan membawa pulang Lutfiyah ke kampung mereka. Di situ Lutfiyah bertemu Hadi dan bermula lah satu episod permainan 'tarik tali' dan konflik emosi serta perhubungan antara mereka berempat dan manusia-manusia di sekeliling mereka. Lutfiyah dan Hadi masing-masing mempunyai sejarah duka mereka sendiri. Pertembungan hati watak-watak muda ini banyak dibantu dengan panduan watak-watak yang sudah berusia dan telah lama 'makan garam' seperti Nek Mah dan Ibu Sumaiyah.
Berjayakah Lutfiyah dalam pencariannya dan merungkai persoalan yang menjadi tanda tanya sekian lama? Dan bagaimanakah kesudahan 4 jiwa yang hebat diuji Tuhan dengan pelbagai cabaran pada akhirnya? Apakah hikmah di sebalik semua yang berlaku? Semuanya terjawab usai membaca novel ini.
Komen saya:
Saya bukanlah peminat novel melayu yang rata-rata temanya sentiasa klise dengan kisah cinta terhalang kerana perbezaan taraf keluarga, hubungan kekeluargaan yang terpisah, perhubungan cinta terlarang kerana hubungan saudara atau kisah hidup anak melayu yang belajar di luar negara dan terbawa-bawa dengan arus kemodenan. Novel ini juga begitu, tiada kelainan yang ketara. Namun, novelis ini mampu mempersembahkan ceritanya dengan baik dengan gaya penceritaan yang lancar, bersahaja dan mudah difahami.
Dari segi isi, kisah ini sarat dengan cinta dan kasih sayang, samada yang membahagiakan mahupun yang menghancurkan; kasih anak terhadap ibu bapa, kasih nenek terhadap cucu, kasih antara 2 saudara, kasih penjaga kepada anak angkatnya - dalam erti kata lain, kasih sayang di dalam hubungan keluarga. Selain itu, kisah ini juga menyentuh tentang kepentingan memajukan diri sendiri, peluang kedua (second chance) dalam kehidupan dan hikmah sebuah kemaafan, seperti tagline novel ini, kemaafan adalah dendam yang terindah.
Kesudahan bagi cerita ini tidaklah sukar untuk dijangka, lebih-lebih lagi jika si pembaca sudah terbiasa dengan jalan cerita soap operas di kaca tv. Bagaimanapun saya cuba untuk tidak membuat jangkaan dan menerima apa sahaja kesudahan yang disampaikan novelis ini. Bagi saya, ia kesudahan yang agak baik dan teratur cuma mungkin sedikit kurang mencabar minda, hehe.
Apapun, novel ini baik untuk dibaca kerana banyak perkara positif yang boleh diambil daripadanya, jika si pembaca tidak hanya membaca untuk hiburan dan melayan mainan perasaan.
No comments:
Post a Comment
Amuse me ...