Suatu hari di dalam satu perjalanan berkereta ke satu tempat ... berlaku perbualan di antara orang Sabah (A) dan orang Semenanjung (B) dan lokasi mereka adalah di Sabah.
A : Tuan rumah saya nak datang rumah hari ni.
B : Tuan rumah kamu Melayu ke?
A : ... Dia Muslim.
Sekali imbas, A seperti tidak menjawab soalan. Tetapi sebenarnya dia menjawab soalan dengan tepat sekali. Semuanya berkisar tentang stereotaip bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Kenapa saya kata mula-mula bahawa A tidak menjawab soalan? Sebab soalan yang ditanyakan oleh B sepatutnya memerlukan jawapan samada 'ya' atau 'tidak' bergantung sama ada tuan rumahnya berbangsa Melayu atau tidak. Sebaliknya, jawapan yang diberikan adalah agama yang dianuti tuan rumah. Dan kenapa pula saya katakan jawapan yang diberi sebenarnya tepat? Walaupun ia tidak menepati kehendak soalan, ia sebenarnya menepati maksud sebenar yang ingin ditanya B. Ini kerana B berfikir di atas landasan bahawa jika Melayu, pasti Islam, dan sebenarnya B ingin tahu, tuan rumah itu muslim atau bukan.
Sebenarnya B tidaklah bermaksud untuk men'stereotaip'kan faktor itu. Ia berlaku di bawah sedar kerana B orang Semenanjung yang baru sahaja membiasakan diri dengan kehidupan di Sabah. Soalan B sebenarnya tidak salah, tetapi kurang bersesuaian dengan lokasi, kerana telah sedia maklum bahawa di Sabah, majoriti penduduknya berbangsa Kadazan, Dusun, Murut dan beratus-ratus lagi suku kaum beserta cabang-cabangnya. Jika B benar ingin tahu tentang bangsa, maka bangsalah yang patut ditanya, dan begitu juga dengan agama.
Ini juga adalah kerana di Sabah, seseorang itu dikenali secara rasmi identitinya berdasarkan suku kaumnya yang sebenar. Berbeza kalau di Semenanjung, jika orang itu berketurunan Jawa atau Bugis atau lain-lain asal nenek moyangnya, dia tetap dikenali sebagai Melayu di dalam kad pengenalannya. Pendek kata, kalau Melayu itu bukanlah dikira orang Sabah, dan bukanlah majoriti. Masyarakat Sabah yang kaya dengan suku kaumnya yang ramai ini masih kuat mengamalkan adat masing-masing dalam kehidupan. Ini saya katakan hasil pengetahuan yang tidak seberapa dalam adat perkahwinan dan pentadbiran. Sistem pentadbiran di Sabah ini lebih kompleks kerana wujudnya Mahkamah-Mahkamah Anak Negeri di samping sistem-sistem pentadbiran negara yang biasa.
Begitu banyak perkara yang dirasakan seperti rumit, tetapi sebenarnya kehidupan di mana-mana sahaja adalah sama kalau setiap orang menghormati di antara satu sama lain dan tidak membesar-besarkan sesuatu perbezaan yang ada. Dan akhir kata, janganlah disebabkan statistik yang menunjukkan sesuatu angka, kita mula 'stereotaip'kan pemikiran kita. Sebelum berkata-kata, ingat-ingatlah di mana kita berada.
Nota kaki : Islam agama sejagat.
No comments:
Post a Comment
Amuse me ...