Saturday, September 10, 2011

Bukit Kepong, filem Melayu & ...

Sejak akhir-akhir ini, nama Bukit Kepong tiba-tiba bergema kembali di persada negara. Semuanya kerana sebuah pernyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang ahli politik berkenaan peristiwa bersejarah di Bukit Kepong 61 tahun yang lalu yang dikatakan telah menyentuh perasaan rakyat negara ini terutamanya waris ahli keluarga anggota-anggota polis dan penduduk kampung yang terlibat di dalam peristiwa tersebut. Satu pernyataan yang dirasakan kurang sensitif yang akhirnya mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak, tidak kira yang berunsurkan fakta, propaganda mahupun emosi semata-mata. Malah ada juga yang baru mendengar nama Bukit Kepong itu sejak berlakunya ke'heboh'an ini, termasuklah orang-orang yang berasal dari negeri Johor sendiri.

google image
Apabila mendengar nama Bukit Kepong, aku teringatkan sebuah filem 'Bukit Kepong' arahan dan lakonan Dato' Jins Shamsuddin yang pernah aku tonton semasa ia disiarkan di kaca televisyen lebih kurang 20 tahun yang lalu. Pada masa itu, aku masih kecil, entah berapa umurku aku pun dah lupa, mungkin masih bersekolah rendah. Aku masih ingat sikit-sikit pada awal cerita pengenalan kepada watak-watak di dalam cerita itu dilakukan dengan setiap pelakon memperkenalkan diri watak masing-masing siap berpakaian uniform dan memperkenalkan nombor anggota mereka berserta nama mereka. Aku mengenali beberapa pelakon terkenal seperti Jins Shamsuddin, Yusoff Haslam, Allahyarham A. Rahim dan Allahyarham Hussein Abu Hassan yang berlakon dalam filem tersebut. Ketika babak pertempuran dan serangan bertubi-tubi, aku memang menonton dengan penuh kegerunan dan menangis melihat efek-efek kecedaraan, tembakan, pengeboman, pembakaran dan penyeksaan yang dilakukan oleh pasukan komunis terhadap anggota-anggota polis Balai Polis Bukit Kepong, anak-anak dan isteri mereka ketika mempertahankan diri. Sungguh berkesan. Dan filem itu dihasilkan pada zaman era akhir 70an-awal 80an. Bagiku, ia cukup 'impressive' pada ketika itu.

Pastinya pada ketika itu, aku sekadar pernah mendengar tentang penjajahan British, parti komunis, bintang tiga dan lain-lain tanpa memahami sebenarnya apa perjuangan mereka. Bagi aku, apa yang aku lihat ketika itu, hanyalah sekumpulan musuh yang majoriti berbangsa Cina, menyerang sebuah balai dan berek polis yang dianggotai oleh majoriti berbangsa Melayu. Namun pada ketika itu, aku tidak pernah fikir pun samada perkara itu ada kaitan dengan perbezaan kaum, perbezaan perjuangan atau lain-lain lagi. Penjajahan British di Tanah Melayu ada buruk dan baiknya, namun penjajahan tetap merupakan satu penjajahan dan ia harus ditentang. Namun kaedah penentangan itu ada pelbagai cara. Dan niat penentangan itu juga bagaimana? Apakah kerana cintakan tanah air dan akar umbi bangsa serta ingin memelihara kebebasan mengamalkan agama? Atau terpengaruh dengan aliran luar yang belum tentu harmoni dan menjamin kebebasan?

Apapun, terasa bosan juga bila melihat isu pernyataan ahli politik ini didendangkan saban hari. Ini cuma satu isu, sudah berapa banyak isu yang dicanang setiap hari tanpa kupasan yang betul-betul berisi sebaliknya hanya kelihatan hujahnya dari segi agenda politiknya sahaja. Kenangilah sejarah untuk diambil pengajaran. Dan setiap orang harus bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakannya. Mungkin ada sebabnya beliau berkata begitu, wallahu a'lam...
google image

Dari aspek yang lain, menyentuh tentang filem terbabit...dengar khabarnya Dato' Yusoff Haslam ingin menghasilkan sebuah filem 'remake' Bukit Kepong tersebut. Kita tunggu dan lihat nanti. Namun, adakalanya saya terfikir, kalau kita ke kedai-kedai cd, kita pasti berjumpa dengan dvd-dvd filem-filem lama karyawan Hollywood yang terkenal dari pelbagai era yang dikompilasikan untuk 'collector's edition', seperti filem-filem yang pernah memenangi anugerah 'Oscar' ataupun filem-filem 'box-office', antaranya Gone With The Wind, The Godfather, The Great Escape dan lain-lain. Tetapi kita susah untuk berjumpa dengan dvd-dvd filem-filem klasik tanah air kita sendiri sedangkan banyak filem-filem lama kita yang berkualiti seperti Abang, Matinya Seorang Patriot, Puteri, Ranjau Sepanjang Jalan, Jogho dan lain-lain yang aku teringin untuk tonton semula. Hampir semua filem tersebut telah aku tonton semasa kecil, banyak yang aku tak ingat kisahnya tetapi ingatan-ingatan kabur pada masa lalu masih kekal di dalam minda, entah kenapa ia masih tersimpan di dalam bahagian memori jangka panjang (long-term memory) aku, aku pun tidak tahu. Mungkin kerana ia berkesan di hati?

Itupun ada juga filem-filem Allahyarham P.Ramlee dan yang sezaman dengannya yang dijadikan vcd dan dijual dikedai-kedai cd. Dan filem-filem tersebut kerap juga ditayangkan di kaca tv, namun bukankah lebih elok kalau dapat dilihat pengabadian naskhah seni yang berharga di dalam bentuk yang lebih tahan dan lebih menarik?

Nota kaki: The Dreamer sedang melakukan carian di Youtube untuk mencari filem-filem itu...jika anda tahu kewujudan dvd/vcd filem-filem di atas, sila maklumkan ya.. :)

1 comment:

  1. 1st time tgk filem bkt kepong masa tu umur baru 7-8 tahun kut, walau pun masih kecik lagi time tu boleh pulak mengalir air mata pada satu babak kat berek polis, ayah dan maknya kena tembak, anaknya menangis-nangis panggil kedua-duanya. suka sangat sejarah sampaikan setiap kali bawak anak2 melancong mesti nak cari historical site!

    ReplyDelete

Amuse me ...